Berguru Dengan Buku = Berguru Dengan Syaitan?

Thursday, July 13, 2006

“Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan”. Ini di antara kata-kata yang sering kita dengar.

Marilah kita meneliti kata-kata ini dengan mengikuti perbahasan mengenainya sebagai mana berikut :

1. AKAL VS KATA-KATA INI :

Kalaulah benar kata-kata “Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan”, adakah ini bermakna : “Setiap guru adalah ma’asum (suci daripada dosa-dosa) laksana Para Malaikat a.s dan Para Anbiya’ a.s”?

Dan adakah kata-kata ini juga membawa makna : “Sesiapa sahaja yang belajar secara berguru maka ilmunya dijamin betul dan tepat dengan kehendak Allah Ta’ala dan Rasul-Nya s.a.w?”

Jawapan yang pasti ditemui oleh kita semua terhadap soalan-soalan itu ialah : SUDAH TENTU TIDAK !!!


2. DRP MANAKAH SUMBER KATA-KATA INI? :

Yang pasti ianya bukanlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w dan bukan juga berasal daripada Para Sahabat r.a.

Para Ulama’ rh yang muktabar (yang boleh dijadikan panduan umat) mempunyai berbagai pendapat mengenai daripada manakah datangnya kata-kata di atas dan mereka mencari-cari daripada manakah sumbernya kata-kata :

“Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan”

* Kata-kata ini terdapat di dalam Kitab “Haq at-Toriqoh” dan “Syarh Usul Tahqiq” ~ Tetapi tidak dinyatakan pula daripada manakah asal-usulnya kata-kata itu.

* Kata-kata itu juga tidak dimasukkan ke dalam kitab-kitab hadist yang terkenal seperti “Sunan Sittah”, “Mausu’ah Atrofil Hadist”, “Al-Jamie’ al-Kabir Lis Suyuthi”, “Al-Mu’ujam al-Mufahras Li Alfazil Hadis an-Nabawi”, “Miftah Kunuz as-Sunnah” dan selainnya

* Asy-Syeikh Mahmud ‘Abdul Rauf al-Qasim menyatakan di dalam kitabnya “Al-Kasyfu ‘An Haqiqah as-Sufiyyah Li Awwal Marrah Fit Tarikh” menyatakan bahawa kata-kata itu dan yang seumpama dengannya adalah berasal daripada tokoh-tokoh Tasawwuf , di antaranya:

  1. Al-Imam as-Saiyid Ahmad ar-Rifai’e (rh)
  2. Al-Imam Abu Yazid al-Bustomi (rh)
  3. Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (rh)

3. SIKAP KITA TERHADAP KATA-KATA INI :

Kata-kata manusia biasa (selain Baginda Rasulullah s.a.w) sudah tentulah boleh diterima dan boleh ditolak, dan inilah merupakan satu kata-kata hikmah yang pernah diucapkan oleh Al-Imam Malik rh, Imam Negeri Hijrah (Al-Madinah al-Munawwarah) satu ketika dahulu.

Diterima kata-kata itu apabila bersesuaian dan tepat dengan ajaran Al-Quranul Karim dan As-Sunnah as-Sahihah, dan ditolak sesuatu teori , kata-kata dan pendapat apabila bertentangan dengan kedua-dua sumber tertinggi perundangan dan ilmu umat Islam itu.

Begitu juga, sesuatu kata-kata dan pandangan itu sudah tentu boleh diterima apabila dihuraikan (disyarahkan) bersesuaian dengan kehendak syariat Islam itu sendiri, dan ia akan ditolak dan dilempar jauh-jauh apabila dihuraikan dengan cara yang bertentangan dengan kehendak agama Islam itu sendiri.

Demikianlah juga sikap kita terhadap kata-kata : “Sesiapa sahaja yang belajar menerusi buku / kitab bermakna dia belajar dan berguru dengan syaitan”.

Namun, Tidaklah kita menolak sesuatu kata-kata itu secara totok ataupun semberono apabila ia tidak bersumber daripada Baginda Rasulullah s.a.w , kerana masih banyak lagi kata-kata para cendekiawan yang kita terima kerana mengandungi hikmah dan ilmu pengetahuan.


Bilakah sesuatu ilmu itu perlu dituntut secara berguru ? :

1 – Bagi mereka yang berada di peringkat asas dan menengah. Dimulakan dengan mempelajari muqaddimah (pendahuluan) yang berkaitan dengan sesuatu ilmu yang bakal dipelajari. Di masa ini jugalah para pelajar dikenalkan dengan berbagai istilah agar mudah mereka mempelajari secara mendalam mengenai sesuatu ilmu itu apabila mereka belajar di peringkat tinggi.

2 – Bagi kanak-kanak ataupun orang-orang yang baru diperkenalkan sesuatu ilmu, sudah tentulah di saat ini mereka perlu kepada si guru ataupun pembimbing. Seperti belajar ABC dan belajar cara sembahyang.

Bilakah sesuatu ilmu itu boleh didapati tanpa perlu secara berguru? :

1- Bagi mereka yang telah mempunyai asas-asas ilmu yang kukuh dan kuat.

2 – Bagi mereka yang berada di peringkat tinggi, mereka boleh membaca mana-mana buku pengajian yang telah pun mereka pelajari asas-asasnya sebelum ini dengan kemas-kukuh. Guru-guru (tuan-tuan guru, para pensyarah) hanyalah menjadi sumber rujukan apabila para pelajar peringkat ini mendapati beberapa masalah yang sukar difahami ataupun apabila mereka memerlukan huraian yang panjang lebar terhadap isi sesuatu buku.

Kebaikan Berguru Secara Langsung :

  1. Mudah dan cepat memahami sesuatu topik.
  2. Boleh dilakukan soal-jawab secara bertubi-tubi secara langsung tapa perlu menunggu lama.
  3. Si Guru yang mahir sudah tentu boleh memperbandingkan isi sesuatu kitab / buku yang di baca oleh muridnya dengan kitab-kitab lain yang masih belum dibaca oleh muridnya itu dan guru itu juga boleh menambah dengan beberapa dalil dan keterangan lagi sebagai penjelas dan pelengkap.
  4. Si Guru boleh membetulkan cara bacaan si murid sama ada yang berkaitan dengan Ilmu Tajwid ataupun Tatabahasa Bahasa Arab (Nahu dan Sorof). Selain itu si guru juga boleh membetulkan beberapa fakta, baris-baris tulisan Arab dan sebagainya yang mungkin disebabkan kesilapan si penulis buku / kitab ataupun kesilapan mesin cetak.
  5. Hubungan di antara si guru dengan muridnya lebih rapat dengan cara ini.

Kebaikan Berguru Menerusi Bahan Bacaan ( Kitab / Buku / Majalah / Halaman Web Ilmiah ) :

1 – Sesuatu fakta yang dikemukakan di dalam bentuk tulisan lebih cermat dan teliti, kerana si penulis mempunyai masa yang agak panjang untuk menyatakan bahan rujukan bagi sesuatu artikel ilmiah. Walhal kalau belajar secara berguru, belum tentu lagi si guru itu ingat sesuatu fakta itu bersumber daripada mana, di dalam buku apa, jilid keberapa, halaman keberapa dan terbitan mana?

2 – Adanya bahan bertulis, lebih meyakinkan lagi para pelajar berbanding dengan semata-mata kata-kata guru-gurunya (kerana boleh jadi guru itu tersasul, terlupa, terkeliru dan seumpamanya)

3 – Bahan bertulis memberikan masa yang agak panjang kepada si pelajar sehinggakan boleh diulang-ulang semula pembacaan terhadap sesuatu topik yang dirasai agak sukar. Sedangkan kalau secara “direct” berguru, mungkin guru akan berasa tidak senang kerana asyik diajukan soalan yang sama.

4 – Bahan bertulis memberikan peluang menambah ilmu-pengetahuan kepada mereka yang tidak berpeluang berguru secara langsung. Contohnya : Mereka yang sibuk dengan tugas sehinggakan kadang-kadang tiada masa untuk belajar di masjid-masjid ataupun di surau-surau, masih boleh menampung sedikit kekurangan itu dengan selalu menjenguk mana-mana halaman web ilmiah.

Inilah secara ringkas kelebihan belajar sesuatu ilmu itu menerusi guru secara langsung ataupun menerusi sesuatu bahan bacaan secara langsung.

Setiap cara ini ada kebaikan dan ada kekurangan. Dan tentulah kekurangan yang ada pada kedua-dua cara dan sistem ini boleh dilenyapkan apabila kelebihan dan kebaikan kedua-dua cara dan sistem ini disatukan.

PENDEK KATA :

“Belajar sesuatu ilmu secara berguru merupakan satu sistem yang paling ampuh dan kukuh, akan tetapi bukan semua ilmu itu hanya boleh didapati menerusi berguru semata-mata dan anggaplah bahan-bacaan itu sebagai sokongan dan tambahan bagi ilmu yang didapati secara berguru tadi”.

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

BELAJAR MENERUSI BUKU, BERGURU DENGAN SYAITAN?
Oleh : Al-‘Allamah Ustaz Abdullah al-Qari al-Kenali AQHAS (ha)
Terbitan : DINIE Publisher.
Harganya : RM 4.00 sahaja (masa tahun 1994 dulu la nih)

:: Ustaz Pendekar ::

ayus dan syuhada
nursyuhada.com

0 comments: